Thursday, February 7, 2008

LOLOQ In Memories ( 1958-2008 )



Salam,

Saya terpanggil untuk menulis pendapat peribadi saya tentang arwah setelah melihat banyak laman blog yang menyampaikan rasa simpati ke atas keluarga arwah dan mengagumi dengan hasil karya beliau. Namun, lebih tepat lagi, tujuan belangsukawa ini ditulis adalah untuk menyedarkan diri dari terus terlena dan kelalaian yang tiada noktah.

Loloq adalah nama yang saya kenal dari kejauhan. Saya tidak pernah bertemu beliau secara personal, sungguhpun ada juga beberapa aktiviti hiburan yang saya sertai turut melibatkan beliau. Loloq adalah nama yang saya kagumi namun dari kejauhan. Seingat saya saya hanya pernah melemparkan senyuman kepada beliau dalam Majlis Anugerah Industri Muzik beberapa tahun yang lalu. Itupun telah membuatkan saya rendah diri yang keterlaluan kerana kekaguman saya dengan karya beliau.

Ketika kumpulan Spider keluar dengan album baru mereka berjudul Bintang 12, saya sempat menemubual kumpulan ini ketika rangka promosi album diadakan. Ketika vokalis Spider keudara bersama saya di KLfm, dia menyampaikan rasa bangganya kerana album tersebut merupakan kelansungan kerjasama tiga hala antara Spider-M.Nasir-Loloq. Ketika single "Mabuk" kerap diputarkan, saya pula lebih tertarik dengan sebuah lagu lain yang dimuatkan dalam album tersebut. Judulnya "Suka Duka Kita". Pemergian arwah Loloq terus mengingatkan saya kepada lagu itu, kerana saya sungguh meminati lagu tersebut ( dalam banyak2 lagu kumpulan Spider, lagu ini yang paling menarik perhatian saya )

Kenapa lagu tersebut membuatkan saya teringatkan arwah Loloq? Kerana vokal arwah turut diselitkan pada permulaan lagu tersebut, sebelum vokal Tam menyusul.

"Hari ni aku kau rindu, esok mungkin kau cinta,kalau cinta betul kau cinta, pahit pun rasa manis"

Begitu lirik yang dilontarkan oleh vokal arwah sendiri. Saya kira lagu ini begitu istimewa kerana, bukan sahaja lirik lagu ini merupakan nukilan beliau, tetapi vokal beliau turut diabadikan menerusi lagu ini.

Ya, benar, yang pergi tetap pergi, mana mungkin kembali semula ke dunia, sungguhpun dengan kuasa superhero atau sesiapa jua. Namun pemergian Loloq ditangisi oleh seluruh peminat muzik nusantara khususnya, kerana karya beliau meninggalkan roh dan soul. Penulis memang ramai, yang menulis pun tidak terkira banyaknya, belum lagi yang celik akal, namun yang mampu menulis dengan seluruh jiwa boleh dihitung dengan jari sebelah tangan sahaja.

Dan, saya juga secara peribadi berpendapat, kolaborasi arwah dan M.Nasir adalah antara partnership yang sangat successful, dikalangan pemuzik tempatan dan nusantara amnya. Ia mengingatkan saya kepada partnership yang sangat berjaya dahulu. Karya muzik Tan Sri P Ramlee dan kolaborasi tulisan lirik oleh S.Sudarmaji. Mengingatkan saya kepada lagu-lagu Melayu yang penuh dengan unsur kelembutan dan kesopanan. Alunan yang unik dan lirik yang "hidup".

Begitulah partnership arwah dengan sifu M.Nasir. Saya sendiri percaya, dalam ndustri ini, partnership atau kolaborasi samada partnership freind to freind @ mentor-protege memang memberikan impak kepada kerjaya seni sesiapa sahaja yang berada dalam industri ini. Industri Hiburan tempatan bukanlah besar mana pun, jadi lirik Loloq itu umpama tongkat sakti yang menampung muzik dan melodi sentuhan sifu M.Nasir. Kejayaan kolaborasi inipun telah diangkat kredibilitinya. Maka, tidak hairanlah pada hari arwah kembali ke rahmatullah M.Nasir satu-satunya sahabat yang sempat bersama beliau walau seketika. Datangnya mereka dari daerah yang sama, dengan tujuan yang sama ke kota Kuala Lumpur ketika itu untuk menghasilkan karya jujur baik muzik dan mainan visual.

Loloq kini tiada. Namun karya beliau menjadi jambatan untuk kita teruskan ke peringkat yang seterusnya. Loloq pergi meninggalkan satu nilai estetika yang boleh dijadikan rujukan untuk generasi seterusnya. Liriknya yang seolah hidup, terkandung roh didalamnya, tersembunyi mesej yang kadangkala terungkai, namun kebiasaannya tersimpul rapi, hanya dia yang memahami.Sebagaimana tersemat baik karya agung Tan Sri P.Ramlee di Arkib Negara, saya turut menyeru agar harta intelek yang tidak ternilai harganya ini dijaga sebaik mungkin oleh kita, pewaris bahasa dan bangsa Melayu.

Kita yang hidup ni, mampukah meninggalkan harta yang seperti ini? Bukan wang, bukan duit atau fulus, namun "harta" yang berteraskan kebijaksanaan pemikiran yang berteraskan akar dan umbi kita sendiri...

Saya termenung memikirkannya. Sehingga saat ini, tiada lagi jawapan untuk soalan yang muncul di kotak fikiran saya sendiri.

Loloq is survived by wife Hariah Yaacob and 3 children - Krsty Nur, 11, Jaevn Nur, 8 dan Yasha Nur, 6.He was buried Wednesday, 31st Januari, at the Muslim cemetery in Bandar Baru Sungai Buloh.

May he rest in peace dan biarlah dia "berehat" sepuasnya disana. Yang lain tetap menyusul, namun masanya hanya ditentukan oleh Yang Maha Esa.

Al Fatihah


-NAZIRAH FADHLINA ANUAR-


....Saya bertugas di konti semasa berita ini diterima. Turut diterima berita pada masa itu ialah pemergian ke rahmatullah bekas mufti Negeri Selangor, Datok Ishak Baharom. Kedua-duanya manusia yang akan terus diingati kerana kecermelangan dalam lapangan yang diceburi.

...dan aku... mampukah aku menjadi seperti mereka?

0 ayat POWER BEB!: