Monday, August 11, 2008

Hezry, Nazie jadi Team BK
Oleh Suzan Ahmad (Berita Harian Bintang Popular Ahad, 10 Ogos 2008)



Gelagat Juruhebab radio KLFM.

TEAM BK adalah gelaran cukup catchy bagi kolaborasi dua entiti berbeza, namun hala tujunya sama, iaitu bagi juruhebah Hezry dan Nazie, pengendali program Suria Pagi KL di stesen radio KLFM yang membabitkan frekuensi 97.2.

“BK boleh membawa maksud pelbagai antaranya best kerja, buat kerja, bagus kerja dan yang paling relevan, besar kecil jika merujuk kepada saiz Nazie yang agak comel dan Hezry yang tidak cukup inci,” demikian seloroh Nazie yang memang murah dengan gelak.

Mengikut sejarahnya, slot Suria Pagi KL sebelum bertukar tangan dikendalikan Manan Selamat, selepas Nazie atau nama sebenar Nazirah Fadhlina Anuar, 28, dan Hezry Hashim, 39, mengambil alih, Manan kini bertindak pula selaku penerbit program pagi yang ke udara dari jam 6 hingga 10 pagi, Isnin hingga Jumaat.

Team BK mula beroperasi sejak 1 Julai lalu dan sebenarnya tidak pernah dikendalikan secara berpasangan. Nazie dan Hezry pula biar sudah lama sebumbung namun tidak pernah digandingkan dalam mana-mana program bersama.

“Walaupun gandingan Team BK memecah tradisi KLFM sejak era Zainal Din Zainal (1971), sebagai alat komunikasi yang tertakluk dengan garis panduan kerajaan kami akui tidak perlu bersaing dengan stesen radio swasta yang lebih trendy, begitupun Suria Pagi KL perlu mengikut peredaran semasa supaya rentak dan pengisian terus segar bugar dan mantap,” tambah Hezry yang pernah menjadi penyampai Radio Muzik FM dan kini turut bergiat aktif sebagai pengacara program TV.

Hakikat dibandingkan dengan stesen radio swasta memang tidak dapat dielakkan. Stesen radio kerajaan tidak cenderung kepada nilai komersial sebaliknya lebih kepada ‘memaklumatkan pendengar’ dengan bahan terkini.

“Satu perkara yang pasti, gandingan kami sangat gila-gila kerana itu kami digandingkan bukan sekadar mengekalkan pendengar yang ada tetapi juga untuk mengundang pendengar baru ke frekuensi 97.2,” kata Nazie yang pernah bertugas sebagai Eksekutif Info Radio Era dan Sinar FM juga Penyampai Radio Nasional FM.

Sebagai orang baru, Nazie mengakui bukan mudah mengumpan keyakinan masyarakat. Namun, paling utama adalah keupayaan supaya orang percaya pada bakat dan bukan pada penampilan fizikal.

“Beza usia saya dan Hezry cukup besar, jadi sebagai orang lama Hezry memang banyak memberi tunjuk ajar kepada saya dari segi selok belok ketika ke udara dengan lebih berhemah dan mantap,” jelasnya lagi.

Kata Hezry pula, dari segi pengisian, tidak banyak yang berubah kerana usaha gandingan Team BK adalah untuk membina sound metropolitan yang bergetar, aktif dan segar. Namun, Suria Pagi KL tidak pernah melupakan program yang wajib seperti kuiz-kuiz harian kepada pendengar umumnya dan tidak hanya kepada Sahabat KLFM khususnya.

“Kami bukanlah radio yang baru dan muda, tapi kami mahukan yang terbaik, terkini dan segar untuk dihidangkan kepada pendengar yang rata-rata berada pada peringkat usia 25 hingga 45 tahun,” jelas Hezry yang mula muncul bersama Team BK untuk rangka road show di sekitar Lembah Klang bagi mendekati pendengar.



TERUSKAN MENDENGAR & MENYOKONG TEAM BK SURIA PAGI KL 97.2


IKHLAS,

TEAM BK

NAZIE & HEZRY


0 ayat POWER BEB!: